Pilihanraya Umum 2008

Pas cadang laksana hukum hudud di Kedah




KOTA BAHARU: Kepimpinan PAS pusat berhasrat untuk melaksanakan sistem perundangan jenayah hudud di Kedah untuk dijadikan sebagai undang-undang negeri, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata perundangan yang akan dilaksanakan itu adalah mengikut Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang dicadangkan dikuatkuasakan di Kelantan.

“Kita akan laksanakan dalam kemampuan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Cadangan pelaksanaan perundangan hudud di Kelantan sebelum ini telah mencetuskan bantahan dan kontroversi kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai sama ada kerajaan negeri Kedah akan mengharamkan pusat hiburan yang berbaur maksiat termasuk penjualan arak, disko dan pusat perjudian, beliau berkata PAS akan mengadakan perbincangan dengan sekutunya DAP dan PKR mengenai perkara bersangkut dengan amalan agama dan budaya kaum bukan Islam serta penerimaannya.

Hadi juga berkata PAS pusat turut bersetuju untuk meminta kerajaan negeri Kedah supaya melantik dua Exco bukan Islam bagi menjaga kebajikan dan kepentingan orang bukan Islam di negeri itu.

Selain itu, katanya pakatan pembangkang juga akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam rancangan pembangunan yang telah dirancang seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Kita akan sokong apa yang baik untuk rakyat termasuk rancangan pembangunan dan kita akan tolak perkara yang negatif untuk rakyat,” katanya. - Bernama

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad