Semua Adun DAP hadir majlis angkat sumpahIPOH: Semua wakil kerajaan campuran negeri PKR, DAP dan PAS akan menghadiri istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baru negeri ini petang ini, kata Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham.
Ngeh yang akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Perak berkata, semua wakil DAP akan menghadiri majlis itu di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada pukul 4 petang ini. DAP hari ini memohon maaf atas kenyataannya semalam bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu membantah pelantikan setiausaha perhubungan PAS Perak Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. Penasihatnya, Lim Kit Siang, berkata kenyataan itu dibuat berdasarkan kedudukan DAP selepas beberapa jam kenyataan itu dikeluarkan. Malam tadi, Lim, yang juga anggota Parlimen Ipoh Timur berkata DAP terkejut dengan keputusan pelantikan Menteri Besar itu. Beliau berkata CEC DAP memberikan kelulusannya bagi pembentukan kerajaan campuran negeri Perak diketuai oleh DAP atau PKR tetapi bukan PAS. Berikutan keputusan itu, Lim mengarahkan semua 18 anggota Dewan Undangan Negerinya memulaukan majlis angkat sumpah hari ini. - Bernama |