Pilihanraya Umum 2008

Abdullah pengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Umno




KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, yang merupakan mesyuarat pertama MT selepas pilihan raya umum Sabtu lepas.

Abdullah yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini tiba di ibu pejabat Umno tepat pukul 1.05 tengah hari.

Ketibaan Presiden Umno itu disambut timbalan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mesyuarat MT kali ini dijangka membincangkan keputusan pilihan raya umum yang baru berakhir, yang menyaksikan Barisan Nasional kembali berkuasa dengan mandat majoriti mudah setelah memperoleh 140 daripada 222 kerusi Parlimen.

Petang ini, Abdullah yang juga pengerusi BN akan mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang dijangka membincangkan mengenai pelantikan anggota Kabinet. - Bernama

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad