Pilihanraya Umum 2008

Keangkuhan DAP undang permasalahan kaum




KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, membidas sikap kepimpinan DAP yang disifatkan sebagai angkuh terutama apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri itu.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh turut menyelar keputusan awal penasihat DAP Lim Kit Siang yang cuba memboikot istiadat angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak.

Katanya sikap keterlaluan dan melampau ini seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan di samping tidak menghormati aspirasi negara bagi menterjemahkan semangat DEB untuk terus dilaksanakan.

Beliau berkata, walaupun Lim Kit Siang sudah memohon maaf dan akur untuk menghadiri majlis angkat sumpah, namun langkah itu “sudah terantuk baru tengadah”.

“Sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada institusi Raja dan menghormati dasar-dasar negara, kita rasa terpukul dengan keangkuhan DAP yang seolah-olah mengundang api permasalahan kaum.

“Sikap yang keterlaluan dan melampau ini seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan dan memang benar telahan umum selama ini DAP merupakan parti cauvanis yang bertopengkan konsep Malaysian Malaysia,” ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Lim berkata pentadbirannya tidak akan meneruskan pelaksanaan DEB di Pulau Pinang, manakala semalam Kit Siang pula mengarahkan wakil-wakil rakyat DAP di Perak supaya tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah wakil PAS Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak hari ini. - Bernama

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad