Jumaat,01 Ogos 2014

12 jurufoto konvoi ke Phuket

KUALA LUMPUR: Seramai 12 ahli Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) menganjurkan konvoi motosikal berkuasa tinggi selama lima hari ke Phuket, Thailand, sempena ‘Minggu Roda Phuket 2012’, semalam.

Konvoi sejauh lebih 2,000 kilometer itu bermula di Restoran Syed, Bangsar, di sini, dilepaskan Timbalan Presiden MPPA, Norhaizat Abdul Samad.


Penyelaras program, Hafiz Johari berkata, konvoi disertai ahli pelbagai organisasi media akan menempuh perjalanan 10 hingga 12 jam sebelum tiba ke destinasi.

“Menerusi konvoi julung kali diadakan itu, kami dapat mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama di kalangan pengamal media pelbagai organisasi,” katanya.


“Pada masa sama, kami dapat bertukar fikiran dengan penunggang motosikal berkuasa tinggi dan berkongsi pendapat dengan penunggang dari luar negara yang akan turut menyertai Minggu Roda Phuket 2012,” katanya.


Katanya, dalam perjalanan pulang nanti, ahli konvoi akan singgah di Alor Star, Kedah dan menyampaikan sumbangan seperti barangan asas keperluan dan wang tunai kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/20
`