Isnin,20 Oktober 2014

2 nahas selang 10 minit

MASJID TANAH: Angkara jalan licin, dua kenderaan dari arah Kuala Linggi di sini, terbabit dalam kemalangan berasingan di kawasan sama di Kilometer 43, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sebuah van jenis Toyota yang sarat muatan madu lebah dari arah Kuala Linggi dipandu dalam keadaan hujan renyai dipercayai hilang kawalan selepas menekan brek yang tidak berfungsi.


Ketika melalui satu selekoh di kampung berkenaan, pemandunya, Shikin Hashim, 43, mendakwa, kenderaan dipandu seperti terdorong ke depan dengan laju sebelum tiba-tiba berpusing dan terbabas dalam longkang di kiri jalan.

“Saya sudah menekan brek banyak, kali tetapi tidak berfungsi sebelum van terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan jalan lalu berpusing beberapa kali dan terbalik sebelum menggelongsor dalam longkang di kiri jalan.


“Dalam keadaan panik, saya cuba mengawal kenderaan supaya tidak memasuki laluan bertentangan, namun disebabkan jalan licin gagal mengawal kenderaan,” katanya.


Dalam kejadian berasingan, sebuah lori satu tan turut terbabit dalam kemalangan kira-kira 50 meter dari tempat kemalangan pertama kira-kira 10 minit kemudian.

Pemandunya, Samad Yunus, 42, berkata, dia dari arah sama membawa muatan makanan laut bersama kelindannya yang dikenali sebagai Along, 25, menuju ke arah Tanjung Bidara.


Menurutnya, dia tidak menyangka lori dipandu tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan berpusing menghala ke laluan bertentangan serta menggelongsor ke belakang dan melanggar sebatang tiang elektrik di kiri jalan.

“Saya dan rakan terpinga-pinga dengan kejadian itu kerana secara tiba-tiba lori berpusing ke laluan bertentangan dan berundur tanpa dapat dikawal sebelum melanggar tiang elektrik menyebabkan tiang itu patah dua,” katanya.


Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/10
`