Ahad,23 November 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 1): Qayyum...sampai hatimu!

Oleh Samsiah Mohd Nor

JANTUNGNYA berdegup kencang. Debaran di dada tidak keruan. Matanya laju membaca setiap nama pengirim yang menitipkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun di laman facebooknya yang beridentitikan Rania Razlan. Tapi dia tidak puas hati. Dia meneliti lagi. Hampa! Nama yang dicari tidak ditemukan. Dia mengeluh sedih seraya menyandar di kepala katil dengan jiwa kosong.

Hari ini hari ulang tahunku. Hari jadiku. Aku dapat banyak ucapan. Daripada kakak, abang dan sanak-saudara. Anak-anak murid seperti Maya, Ajik, Ansari , Bolong, Ashraf Daniel, Jennifer, Sofea Amanda tidak lupa mengucapkannya.

Daripada teman guru di Sabah dan Kuala Kuala Lumpur tidak ketinggalan malah daripada Farhan si brengsek tu pun ada. Dalam kalangan anak-anak murid yang tidak aku ingati pun terselit sama. Malangnya sebaris ayat yang kutunggu-tunggu daripada seorang yang istimewa tidak ada. Sekuntum ucapan yang sangat aku nanti-nantikan tak kunjung tiba.

Aduhai... Sampainya hati kau Qayyum! Sampai hati kau buat aku begini! Kau tak perlu keluar pun. Kau tak perlu poskan aku kad. Malah kau tak perlu ke pejabat pos untuk beli setem. Kau hanya perlu taip di papan kekunci “SELAMAT ULANG TAHUN REN” dan klik butang send. Sekelip mata mesej yang kau taip itu akan terdampar di peti inboxku. Itu saja! Itu saja yang perlu kau lakukan. Dan sudah pasti hatiku bahagia sekali menerimanya. Tapi itu pun kau tak mampu buat. Sampai hati kau Qayyum! Sampai hati kau! Rintih Rania. Sedihnya hati usah dikira. Dia terjebik seketika sebelum bangkit lantas beredar ke jendela yang mengadap langit kelam.


Dilemparkan pandangan ke atas. Ada nostalgia tercatat di atas sana. Beberapa bulan yang lalu, kapal terbang yang membawa Ummar Qayyum ke Sweden melewati langit di atas bumbung rumahnya. Selepas itu langsung dia tidak mendengar apa-apa berita tentang Ummar Qayyum. Langsung tiada. Dia masih boleh bersabar tapi kini sabarnya sudah riuk. Patah hatinya kini.


Salah akukah? Bisiknya sendiri seraya menyapu setitis air jernih yang gugur di birai mata. Sedang dilamun, pintu biliknya diketuk. Rania mengeluh sekilas.
Dia tidak mahu gangguan saat itu tapi pintu kamarnya sudah terkuak.

“Ren...Kak Ros dengan Halim kat bawah...bawa kek hari jadi untuk Ren,” ujar mak cik Rohaya yang hanya menjengukkan kepala daripada daun pintu yang terkuak. Niat hati pada mulanya hanya hendak memanggil Rania sahaja tetapi berubah apabila melihat keadaan anak majikan kesayangannya.

Rania sapu sisa air mata yang melekat di kulit pipinya.

“Kenapa Ren?” Mak cik Rohaya sudah pun ada di sisinya.

Rania menggeleng.

“Hari jadi bersedih padahal mak cik tengok hadiah berlonggok-longgok kat bawah sana tu. Kalau mak cik jadi Ren, makcik melompat kegembiraan.”

“Mak cik lompatlah dan ambil semua hadiah tu,” dalam sedih, Rania berseloroh.
Mak cik Rohaya senyum hambar. Dia duduk di tepi katil seraya memerhati wajah putih bersih Rania. Sedih pun, wajah yang berlekuk di dagu itu tetap kelihatan ayu dan jelita. Rania duduk di sebelahnya.

“Apa yang mengganggu Ren?”

“Tak ada apa-apa mak cik.”

“Mak cik tahu.” Mak cik Rohaya usap muka sedih Rania. “Mak cik jaga Ren bukan sehari dua tapi bertahun-tahun. Mak cik kenal Ren. Mak cik tahu hati budi Ren.”

Tiba-tiba air mata Rania mengalir laju.

“Nangislah Ren. Nangislah...”

Rania kesat air matanya. Dia menghela nafas sebelum berlagak tenang.

“Ada tamu kat bawah. Ren tak boleh nangis.”

“Nangislah...tak apa. Jangan dipendam perasaan tu. Tak elok untuk jiwa,”
nasihat mak cik Rohaya.

Rania tercebik lagi.

“Ren ingatkan Qayyum?” tanya mak cik Rohaya tiba-tiba.

Berubah air muka Rania. Terkebil-kebil matanya memandang mak cik Rohaya. Macam mana mak cik Rohaya tahu tapi dia angguk. Wajahnya sedih kembali.

“Dia tak ucap selamat hari jadi pun pada Ren,” adu Rania macam si bocah kecil.

“Belum lagi kot! Ni baru pukul berapa. Ada sekerat hari lagi,” pujuk mak cik Rohaya.

“Entahlah mak cik....Ren pun tak tahu tentang perasaan Ren ni....”

“Ren sayangkan Ummar Qayyumkan?

Rania diam saja.

“Ren...mak cik nak cakap sikit pada Ren. Dah lama mak cik simpan dan dah lama mak cik nak beritahu pada Ren,”

Redup mata Rania menatap mak cik Rohaya. Ada tanda tanya di matanya. “Apa mak cik?”

“Mak cik nak cakap mak cik suka tengok Ren dengan Qayyum. Mak cik suka sangat.
Mak cik tak pernah tengok pasangan teruna dara yang sama cantik, sama padan, sama molek macam Ren dengan Qayyum. Lillahi, mak cik tak pernah tengok. Kembang hati mak cik masa mak cik tengok kau orang berdua berjalan bersama, bergurau senda. Cantiknya, manisnya, subhanaallah, tak terucap mak cik. Tapi bila kau orang putus, mak cik sedih sangat. Masa Ren nak kahwin dengan Halim, mak cik tak terkata. Mak cik hampa. Mak cik serah pada Allah tapi mak cik bersyukur sangat bila Halim putuskan perhubungan dengan Ren.”

“Mak cik...betul ke apa yang mak cik kata?”

“Ya Ren...mak cik pendam seorang saja selama ni. Tapi kali ni mak cik harap kalau Qayyum datang lagi dalam hidup Ren, jangan dilepaskan Qayyum...”

Rania tidak terkata. Ingatan pada Ummar Qayyum datang terus-menerus.

“Dugaan untuk kamu berdua. Dugaan dari Murni, Halim, Allah....gerun mak cik.
Mak cik anggap kau berdua belum bertemu jodoh tapi mak cik takkan putus mendoakan untuk Ren dan Qayyum....”

“Mak cik....” Rania peluk pembantu rumah yang sudah dianggap macam keluarga sendiri.

“Mak cik doakan agar kau orang bersatu satu hari, amin...”

“Jom kita turun mak cik...” Rania genggam tangan mak cik Rohaya. Jauh di sudut hati dia juga berharap perkara yang sama tapi tercapaikah? Egokah yang memisahkan aku dengan Qayyum! Hatinya berdetik perlahan.

Di bawah suara ibunya melayan tetamu kedengaran. Sesekali terdengar suara Ros Illyani tertawa kecil. Halim mengerling Rania sewaktu terimbas kelibat gadis itu menuruni tangga.

“Hai lamanya bersiap anak dara mama ni...”

“Tak bersiap pun Puan Sri...” sahut mak cik Rohaya yang tahu sangat tentang sifat Rania.

“Pasal birthday girl ni monyok saja,” usik Ros Illyani seraya memeluk Rania.
“Selamat ulang tahun sayang,”

“Terima kasih Kak Ros,”

“Ren, selamat ulang tahun. Semoga panjang umur, murah rezeki dan dicepatkan jodoh,” sapa Halim pula.

Mukanya selamba sahaja tatkala ayat itu tercetus keluar.

“Lepas kau putuskan pertunangan kita, makin lambat jodoh aku Halim,” seloroh Rania.

Mulutnya akhir-akhir ini jadi agak celupar. Halim terkebil-kebil terkejut.

“Hisshh Ren, tak baik cakap macam tu.”

“Alah dengan Halim ni tak apa mama, dah jadi macam adik-beradik. Abang Rais mana mama?”

“On the way katanya. Tapi on the way dia tu tak tahulah kat mana,” bebel Puan Sri. Mak cik Rohaya sudah sibuk dengan kerjanya.

“Ayah tak ada, abang Rais pun entah mana-mana.”

“Banyaknya auntie dengan mak cik masak,” tegur Ros Ilyani semasa mereka sudah pun mengadap hidangan. Di atas meja sarat dengan pelbagai jaudah.

“Tulah Kak Ros. Macam nak jamu seratus orangkan? Penat Ren nak layan kerenah mama. Ren dah tua tua macam ni pun mama nak sambut hari jadi. Lagi haru mama seorang bagi hadiah bukan main banyak,” Rania mengelekek.

“Oh dah tua ya kau Ren,” Halim pun ketawa geli hati. Rania menjeling.

“Mama suka bungkus-bungkus hadiah. Kebetulan pula mama teringin nak makan pulut kuning, sambil sambil tu apa salahnya! Kak Ros dah susah-susah bawa kek buat sendiri tu. Rania kena appreciate tau...”

“Ya mama,” sahut Rania.

Hilang seketika gundah gulananya bila berteman dan bergurau senda. Rania bersyukur kerana peristiwa putus ikatannya dengan Halim tidak memutuskan ikatan persahabatan mereka. Ros Ilyani yang banyak main peranan menyemarakkan kembali hubungan persahabatan antara mereka.

Halim pula tidak lagi berasa rendah diri seperti seperti dulu kerana sudah berkerjaya. Dia sekarang mengusahakan tanaman jambu batu.

“Projek jambu kau macam mana Lim?”

“Alhamdulillah, dah mula Ren, berkat doa semua...”

“Kau jangan bimbang pasal marketing. Aku boleh tolong, aku dah promosikan jambu kau kat sekolah, kau bawa saja.”

“Insya-Allah, kau doakan aku Ren supaya projek jambu aku berjaya.”

“Mestilah aku doakan.”

“Dah, dah...meh kita potong pulut kuning dan baca doa,” ajak Puan Sri Zalia sebaik sahaja Rais menyertai mereka.

Ros Ilyani nampak kurang selesa dengan kehadiran Rais. Kalau tadi dia yang banyak menyakat, kini dia diam cuma. Halim yang banyak bersembang dengan Rais.

Daripada kisah ladang jambu melarat-larat hinggalah ke macam-macam kisah.
Semasa Rania sibuk melayan Ros Ilyani, Rais menggamit ibunya ke satu sudut.

“Kenapa kamu ni Rais, menyorok-nyorok saja...”

“Mak, ada hal penting,”

“Apanya?”

“Saya nak bawa seseorang jumpa mak. Dia akan tinggal dengan kita buat sementara waktu.”

“Eh, kau cakap pasal siapa ni Rais?”

“Adalah mak. Tapi mak jangan terkejut. Lagipun ni amanah orang.”

“Kau nak bawa calon isteri baru kau ke Rais? tanya Puan Sri Zalia.

“Kejap lagi mak tahulah,” ujar Rais lagi.

Setelah bersalam dengan Halim, Rais bergegas pergi. Rania sambung sembang dengan Ros Ilyani dan Halim. Dengan Rania, Halim menyambung kembali cerita tentang ladang jambunya. Kembang jiwa Rania lihat situasi Halim yang semakin bersemangat.

“Kau kena datang ke ladang jambu batu aku Ren.”

“Mesti punya. Kau tak ajak pun aku datang. Aku buat muka tak malu.”

“Tahu kau nak datang, aku hampar permaidani merah.”

“Tak payahlah sampai begitu Lim...”

“Dia ni memang, agak-agaklah kalau nak memikat pun...” Ros Ilyani menyindir.

Merah muka Halim diperli Ros Ilyani.

“Nak memikat apanya Kak Ros. Burung dah dalam sarang, dilepaskan, orang tak sudi kan Kak Ros,” sampuk Riana berbasi-basi.

Mulutnya kata begitu tapi hatinya lain. Ah janganlah sampai Halim menaruh hati lagi pada aku. Buat masa ini hatiku terttutup untuk semua kecuali, mana kau Qayyum?

Lepas solat Asar di rumah Rania, Ros Ilyani dan Halim memohon diri untuk pulang.

“Nanti jangan lupa datang ladang aku,” pesan Halim lagi sebelum masuk kereta.

“Ya aku tak lupa. Baik-baik drive Lim. Kak Ros, terima kasih datang.
Bye...,”ujar Rania semasa kereta mulai bergerak.

Puan Sri Zalia sudah pun masuk ke dalam rumah. Dari kejauhan, Riana renung kereta yang dipandu Halim hingga hilang bayangnya.

Kalau Halim tak putuskan hubungan dulu, dah jadi isteri Halim aku sekarang.
Mampukah aku menjadi isteri Halim? Masihkah ingatan aku pada Qayyum kalau sekarang aku sudah jadi isteri orang? Fikir Rania dan teringat pula Rania akan kata-kata mak cik Rohaya sebentar tadi.

“Mak cik bersyukur kau tak jadi dengan Halim.”

Rania menghela nafas. Halim tak ada apa yang kurang tapi mungkin Ummar Qayyum banyak sangat lebihnya di mata mak cik Rohaya.

Ummar Qayyum, di mana kau? Menjerit lagi hati Rania. Dia berjalan perlahan masuk ke ruang rumah. Hajat hati mahu meninjau akaun Facebooknya tapi dipanggil Puan Sri Zalia.

“Tak senang duduk mama sepanjang masa tadi,” luah Puan Sri Zalia.

“Kenapa mama?”

“Abang Raislah. Tadi dia bisikkan pada mama, dia nak bawa balik seseorang.
Ditanya siapa, tak hendak pula dia berterus-terang.”

“Girl friend baru ke?”

“Entah...”

“Ren ingat nak satukan Abang Rais dengan Kak Ros.”

“Liat saja mama nampak. Kak Ros pun macam tak berminat. Dah duda mana dia hendak lagi.”

“Mana mama tahu Kak Ros tak berminat, nanti Ren risik-risik ek.”

“Entahlah engkau orang ni, mama dah tak tahu nak cakap. Kamu pun sama Ren.
Dah berapa kali putus tunang. Mama rasa Ren dengan Abang Rais kena mandi bunga.”

“Eh...apa kena mengena dengan Ren, kita cakap pasal Abang Raislah mama.”

“Pening mama kenangkan kau dengan Abang Rais. Ni entah apa pula kejutan yang nak dibawa.

“Tak payah pening mak. Tunggu dan lihat apa kejutan yang abang nak bagi. Lepas tu terima saja,” putus Rania.

Puan Sri Zalia ditinggalkan Rania sendirian di ruang tamu. Dia naik ke kamarnya. Dia berwuduk dan bersolat. Selesai solat, panjang doanya daripada biasa. Kemudian, dia melayari laman Facebooknya. Masih banyak ucapan-ucapan baru yang masuk namun satu-satu ucapan yang ditunggu-tunggu tetap belum menjelma.

Ya Allah, tenangkanlah hatiku ini. Sekali lagi dia menatap tulisan-tulisan yang ditujukan padanya. Dia upload satu gambar pemandangan yang cantik dan mengilhamkan. Ada seorang wanita yang sedang merenung laut.

Di bahagian komen, Rania menaip “I MISS U”, kemudian dia menekan butang enter.
Mudah-mudahan Qayyum akan memberi reaksi kalau dia membacanya, fikir Rania.
Baru dia hendak melayan angan-angan, sekali lagi pintu kamarnya diketuk. Lebih agresif daripada tadi.

“Siapa?” jeritnya.

“Mak cik.” Sahut mak cik Rohaya seraya membuka pintu. “Ren, bang Rais dah balik.”

“Ya mak cik!”

“Dia bawa balik Murni.”

Ayat kedua yang disebut mak cik Rohaya membuatkan Rania terkejut. “Murni?”

“Ye Ren....”

“Kenapa abang Rais bawa balik Murni, mak cik?”

“Mana mak cik tahu. Budak tu pun satu. Dah buat onar tapi dasar tak tahu malu. Selamba saja datang ke mari,” juih mak cik Rohaya.

“Mama mana?” Rania sengaja memperlahankan suaranya.

“Kat bawah. Tengah sembahyang.”

“Mengamuklah mama nanti. Mama ingat Abang Rais nak tunjukkan mama calon baru.”

“Calon baru?”

“Tadi abang dah cakap kat mama nak bawa seseorang jumpa mama. Mama ingat calon isteri abang Rais. Tapi bawa Murni.” Rania berfikir-fikir sendirian.

“Eh janganlah si Murni tu calonnya!” Berubah wajah mak cik Rohaya.
“Heh...selisihlah perkara-perkara macam tu. “

“Tak kot. Ada hal lain kot!” Rania menyedapkan hati.

“Mak cik turun dulu ya Ren. Mak cik nak buat air.”

Pintu bilik Rania ditutup. Seperti mak cik Rohaya, Rania juga berasa kepelikan yang sama. Pelik benar apabila Abang Rais bawa balik Murni. Apa hubungan Abang Rais dengan Murni? Sejak bila pula Abang Rais rapat dengan Murni? Semua soalan itu berangkai-rangkai dalam kepala Rania sehinggalah semasa dia turun tangga menuju ke tingkat bawah.

Di anak tangga tengah Rania berhenti dan memerhatikan tetamunya. Murni berselendang hijau lumut polos. Dia berbaju kurung dan duduk di kerusi di ruang tamu menghadap laman hijau. Rais pula duduk di kerusi berlengan tidak jauh dari Murni. Mereka tidak berbincang. Masing-masing melayan diri sendiri.

Jantung Rania berdebar-debar sewaktu kakinya melangkah semula. Janganlah ada sesuatu yang tak disangka-sangka antara Rais dengan Murni. Aku tak rela, berkata hati kecil Rania lagi.

“Abang,” panggil Rania memecah suasana sunyi di ruang tamu. Rais bersama Murni serentak memandangi Rania. Murni bingkas bangun lantas menyalami seraya mencium tangan Rania. Hati Rania menjadi semakin tidak keruan.

“Kak Ren,” Murni membetulkan sebelah selendangnya yang jatuh dari bahu.

Rania berasa pelik dan kosong. Dia tidak tahu bagaimana untuk melayan Murni.
Murni duduk semula di kerusi dan kepalanya menunduk. Suasana jadi sepi.

“Abang bawa balik Murni,” kata Rais perlahan. Wajahnya serba salah.

Macam aku tak tahu! Bidas Rania dalam hati.

“Mama mana?” tanya Rais menyedari perubahan pada air muka Rania .

“Mama masih solat,” sahut Rania. Rania kehilangan kata-kata. Dia tidak tahu apa perasaannya tika itu.

“Murni akan duduk dengan kita,” kata Rais tiba-tiba.

Rania tidak terkata. Matanya sahaja yang memandang wajah orang berdua itu bergantian.

“Abang dah bincang dengan mama?” Jantung Rania berdegup kencang.

“Kejap lagi abang nak jelaskan.”

Rania bangkit dan menggamit Rais. Dia bergerak ke ruang tamu kedua yang agak terselindung. Geram dia mendengar kata-kata Rais tadi. Di balik dinding yang memisahkan tuan rumah dengan tetamu, Rania melepaskan geram.

“Apa abang merepek ni? Berani abang nak cakap macam tu pada mama? Siapa Murni tu yang abang nak ajak duduk dengan kita? Abang dah lupa apa Murni buat pada Ren dulu?”

Rais pegang kedua-dua bahu adiknya. “Ren boleh bertenang tak? Abang nak bincang hal ini dengan mama.”

“Mama takkan setuju.”

“Kalau mama tak setuju abang akan sewakan rumah untuk Murni.”

“Abang dah gila ke?” Bentak Rania. “Abang memang tak berhati perut. Sengaja nak sakitkan hati mama.”

“Sebab abang berhati perut, abang buat semua ni,” sanggah Rais.

Sakit hati dengan apa yang didengar, Rania menerobos bilik tetamu tempat ibunya yang baru selesai solat. Puan Sri Zalia kehairanan melihat muka anak gadisnya yang kemerah-merahan.

“Kenapa ni Ren?”

“Abang Rais dah balik. Dia bawa balik Murni. Dia kata Murni akan duduk dengan kita.” Rania berterus-terang dengan ibunya. Biarlah ibunya tahu terlebih dahulu sebelum berjumpa orang berdua itu. Kalau dia hendak berang, biar dia berang di dalam bilik.

“Murni mana ni Ren? Terkebil-kebil muka Puan Sri Zalia.

“Murni mana lagi mak? Murni adik angkat Ummar Qayyum tu lah.”

“Hah? Dia ada kat sini? Bila pula Rais berkawan dengan budak tu?” Puan Sri Zalia terkejut.

Sebaik telekung dilucutkan, dia merapikan diri, menyikat rambutnya ala kadar dan bergegas keluar kamar.

“Mama, tenanglah,” pujuk Rania tapi tidak diendahkan oleh Puan Sri Zalia.

Rania mengekornya dari belakang. Bimbang juga melihat situasi ibunya yang nampak agak agresif. Melihat susuk Puan Sri Zalia muncul, segera Rais menyalami ibunya diikuti Murni. Puan Sri Zalia menjeling Murni sekilas.

Atas bawah Puan Sri Zalia memandangi Murni. Seketika kemudian pandangannya tumpah ke muka Rais pula. Air mukanya masam mencuka.

“Apa ceritanya ni Rais? Buat apa kamu bawa balik budak ni?” Puan Sri Zalia terus kepada persoalan pokok. Langsung dia tidak berbasi-basi.

Murni kecut perut melihat keadaan Puan Sri Zalia. Mak cik Rohaya yang baru datang dengan hidangan juga terkejut. Selepas menuang Milo panas dan menghidang sepiring cekodok pisang, cepat-cepat dia pergi. Adegan yang tak sanggup ditonton.

“Saya bawa Murni ke sini mama.”

“Yalah, kenapa?” bentak Puan Sri Zalia.

Keningnya terjungkit. Jelas sekali dia tidak mampu mengawal emosi marahnya.
Dia ingat Murni. Dia takkan lupa. Budak kampung yang pernah merosakkan hati Rania. Berani dia datang ke sini! Detik hatinya.

“Dia ada masalah mama,” suara Rais perlahan.

“Kalau dia ada masalah, di sini bukan rumah kebajikan. Dia pun bukan saudara mara kita.”

“Mama, Murni anak angkat nenek Ninda, ibarat adik kepada Qayyum. Kenang yang itu mama,” suara Rais berubah tona.

“Itu bukan urusan kita! Urusan dia! Biar dia selesaikan masalahnya sendiri, “
herdik Puan Sri Zalia.

“Mama...”

“Hantar dia balik sekarang juga,” suara Puan Sri Zalia makin lantang

“Tak apa mama. Kalau mama tak nak terima Murni, saya akan jaga dia,” Rais memberi kata dua.

Terbelalak biji mata Puan Sri Zalia mendengarnya. Dadanya kembang kempis menahan marah. Rania kaku di sebelah ibu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09

Artikel Lain

`